Penganut Hindu bermain alat muzik tradisional ketika perarakan pedati Arca Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman menuju ke Kuil Sri Subramaniaswamny, Batu Caves ketika tinjauan sempena Thaipusam pada 17 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program khas bantu peniaga kecil terjejas SOP Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Satu program khas diperkenalkan bagi membantu peniaga kecil yang terkesan akibat perlaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) perayaan Thaipusam.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara buat peniaga terbabit.

Menurut Dr G Gunaraj, kebanyakan usahawan berkenaan sudah mengeluarkan modal termasuk sebahagian daripadanya membuat pinjaman bagi persiapan membeli barang niaga.

“Justeru, saya melalui pejabat Hal Ehwal Masyarakat kepada Dato’ Menteri Besar mengambil satu tanggungjawab memperkenalkan program membantu peniaga kecil yang terkesan ini.

“Saya akan bekerjasama dengan PBT di Selangor bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara untuk suatu tempoh ditetapkan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Gunaraj berkata ahli majlis dan Ketua Komuniti India Selangor turut bersama membantu bagi menggerakkan program itu terutamanya di Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu peniaga kecil memasarkan produk mereka yang telah tersedia untuk jualan sempena perayaan Thaipusam,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kerajaan membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan kuil beroperasi sepanjang perayaan Thaipusam manakala gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil tidak dibenarkan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Katanya, upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan kali ini dengan mengikut SOP.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula 14 hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil.

Manakala upacara sembahyang secara bersesi iaitu 12 sesi dari 16 hingga 17 Januari serta 19 Januari bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi bagi 18 Januari bermula 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing.


Pengarang :