Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di Menara Majlis Perbandaran Kajang pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek cegah bah, sistem amaran bencana negeri dimuktamad Jun

KAJANG, 28 JAN: Cadangan projek untuk mengatasi bencana dan pembangunan sistem penyampaian amaran dimuktamad pertengahan tahun atau menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam sidang khas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Jelasnya, Kerajaan Negeri menerima pelbagai cadangan antaranya pembinaan terowong dan bandar terusan selain laporan universiti tempatan dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

“Dua perkara utama akan dibincangkan iaitu bagaimana untuk membangunkan sistem amaran awal bencana, kita berdepan banjir dan tanah runtuh selain air pasang besar dari Sepang hingga Kuala Selangor.

“Kita juga akan bincang penyelesaian jangka panjang dan teliti cadangan diterima,” katanya selepas merasmikan kaunter bersepadu di Menara MPKj di sini hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.


Pengarang :