Beberapa kenderaan di tenggelami air selepas banjir melanda Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 22 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat mohon bantuan dibuka di Kuala Langat, khusus mangsa tidak pindah ke PPS

SHAH ALAM, 7 JAN: Sebanyak empat pusat sehenti permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Kuala Langat dibuka sehingga 20 Januari, khusus untuk mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai daerah Kuala Langat berkata lokasi tersebut ialah di Balai Penghulu Tanjung 12, Kampung Bukit Changgang; Balai Penghulu Telok Panglima Garang;  Balai Penghulu Morib/ Kelanang dan Balai Penghulu Bandar/ Jugra, Kampung Permatang Pasir.

“Empat lokasi ini dipilih adalah kerana ramai penduduk di kawasan tersebut terjejas akibat banjir yang berlaku pada Disember lalu. Justeru kita buka pusat sehenti untuk memudahkan urusan mereka.

“Ketua isi rumah diminta membawa kad pengenalan atau lesen memandu manakala laporan polis diperlukan jika tiada kedua-dua dokumen tersebut.  Waktu urusan pusat sehenti bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” kata Mohd Jusni Hashim kepada SelangorKini hari ini.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.


Pengarang :