ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berbual bersama penerima Bantuan Bangkit Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Putrajaya digesa permudah agih bantuan buat mangsa bah

KLANG, 19 JAN: Wakil rakyat Meru menggesa kerajaan persekutuan mempermudah sistem agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Gesaan itu susulan penduduk terkesan tidak mendapat manfaat terbabit serentak dengan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diagihkan hari ini, kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

“Biasanya mangsa banjir terima RM2,000 daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan, namun penyerahan kali ini mereka hanya menerima RM1,000 sahaja iaitu BSB.

“Saya sedikit kecewa dan berharap kerajaan persekutuan masukkan bantuan terus ke akaun penerima bagi memudahkan urusan selain mengekang penularan Covid-19,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum itu, beliau meninjau agihan bantuan banjir negeri fasa kedua kepada 900 keluarga di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru di sini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Kerajaan persekutuan turut memberi RM1,000 yang memanfaatkan lebih 39,100 ketua isi rumah.


Pengarang :