Raja Muda Selangor yang juga Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah kepada salah seorang graduan pada Istiadat Konvokesyen UPM Ke-44 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Raja Muda kurnia ijazah kepada 945 graduan UPM

SERDANG, 13 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan ijazah kepada 945 graduan di dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-44

Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu melabuhkan tirainya dengan penuh teratur serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Naib Canselor UPM Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata 5,695 graduan telah selamat menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Beliau berkata 398 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (1,093 graduan), Sarjana Muda (3,544 graduan) serta Diploma (660 graduan).

Tambahnya, pada sesi ini UPM berjaya melahirkan 11 graduan sulung bagi program Sarjana Keusahawan.

“Saya percaya, kejayaan pada hari ini boleh menjadi pemangkin kepada para graduan untuk memberikan sumbangan yang signifikan kepada keluarga, masyarakat dan negara, dalam apa-apa juga bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu beliau berkata UPM sentiasa cakna dalam melestarikan program kesukarelawan terutama dalam membantu warganya khususnya pekerja dan pelajar yang terlibat dalam bencana menerusi insiatif ‘Putra Cakna’ di bawah panji Putra Bakti.

“Sebanyak 60 misi bantuan banjir telah digerakkan oleh Pusat Tanggungjawab UPM yang melibatkan hampir 2,000 sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf,” katanya.

Mohd Roslan merakamkam ucapan penghargaan kepada seluruh warga UPM yang bersama memakmurkan masyarakat yang terkesan akibat banjir khususnya di kawasan Selangor.

“Seiring dengan moto UPM ‘Berilmu,Berbakti’ inilah nilai empati dan semangat kebersamaan dan kekitaan yang ingin kita suburkan dan lestarikan dalam kalangan pelajar dan warga universiti ini secara amnya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :