Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi gambar dirinya sedang bekerja di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya melalui media sosial Facebook, Twitter dan Instagram pada 25 Februari 2020. Foto: Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad
AGENDANASIONAL

Rawatan elektif Tun M berjaya, keluar IJN beberapa hari lagi

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menjalani prosedur perubatan elektif dan kini semakin pulih, menurut Institut Jantung Negara (IJN).

IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur yang dijalankan oleh sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam, berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Beliau telah sedar dan bersemangat tinggi. Berdasarkan kepada perkembangan semasa klinikal, beliau dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan IJN itu.

Bekas perdana menteri itu dimasukkan ke IJN pada 16 Dis tahun lepas untuk menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut sebelum melalui prosedur berkenaan.

Berikutan prosedur operasi institusi itu, IJN memaklumkan pelawat tidak dibenarkan melawat Tun Dr Mahathir.

“Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala ucapan selamat, keprihatinan dan doa daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :