Anggota polis menunjukkan sijil suntikan vaksinasi Covid-19 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Reman doktor jual sijil vaksin palsu disambung

MARANG, 11 JAN: Perintah tahanan reman terhadap seorang doktor klinik swasta yang didakwa menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu disambung dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis ini terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan pihak polis.

Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu itu.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

– BERNAMA


Pengarang :