Penganut Hindu berjalan ke kuil sempena festival Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Sambut secara sederhana, SOP perlu ketat elak kluster Thaipusam

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Perayaan Thaipusam yang bakal disambut penganut Hindu pada 18 Jan ini perlu disambut secara sederhana bagi mengelakkan tercetusnya ‘Kluster Thaipusam’, namun mengekalkan tradisi dan kepercayaan agama itu.

Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S Mohan Shan berkata ia penting agar dapat mengekang penularan Covid-19 terutama varian Omicron supaya tidak lebih mengganas di negara ini.

Justeru itu, beliau berharap tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal diumumkan kerajaan dalam beberapa hari lagi juga perlu bersifat inklusif dan tegas.

“Mungkin kita boleh menyambut ia seperti tahun lepas iaitu perarakan pedati tanpa penganut, membawa pal kudam (belanga susu) atau kavadi secara tersusun. Namun masyarakat India yang perlu membuat keputusan bijak dan pilihan di tangan mereka,” katanya kepada Bernama.

Mohan yang turut mengikuti Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique melakukan tinjauan ke lokasi sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Sungai Petani, Kedah Jumaat lepas bagi memperkemas cadangan SOP, berkata kerajaan sedang memperhalusi segala cadangan daripada kuil-kuil yang terlibat sebelum memuktamadkan SOP berkenaan.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil untuk memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata sebarang aktiviti yang melibatkan perhimpunan orang ramai mampu meningkatkan jangkitan Covid-19, justeru bagi memastikan keselamatan bagi perayaan Thaipusam, penganut perlu mendapatkan perlindungan maksimum seperti vaksinasi penuh termasuk dos penggalak.

Mengulas lanjut, beliau berkata Thaipusam boleh disambut tetapi ia perlu dalam cara selamat dan norma baharu di samping bilangan orang yang terlibat dalam perarakan keagamaan mungkin dihadkan untuk mencegah penularan jangkitan.

“Adalah penting semua penganut mendapat vaksin sepenuhnya. Pelitup muka harus dipakai dan penjarakan fizikal dipatuhi dengan ketat. Elak kesesakan di premis dengan kawalan yang betul.

“Pihak berkuasa juga perlu bertemu dengan pihak pengurusan kuil dan penganjur sebelum sambutan perayaan itu mengenai semua pengaturan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 122 individu dijangkiti varian Omicron setakat 4 Jan dan menjangkakan kes harian Covid-19 mencecah 30,000 sekiranya langkah bagi membendung gelombang varian Omicron tidak diambil.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor C. Sethupathy pula berkata pihaknya masih menunggu SOP muktamad daripada kerajaan bagi sambutan Thaipusam, namun beberapa persediaan sudah mula dilaksanakan.

Katanya pihak kuil telah menerima surat daripada kerajaan bagi memulakan persiapan untuk sambutan itu dan Kuil Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia setinggi 42.7 meter itu mula menerima penganut Hindu sejak beberapa minggu lepas.

“Sebanyak 500 paal kudam (belanga susu) dan beberapa kavadi telah diambil oleh penganut sebagai pembayaran nazar mereka setakat ini,” katanya.

Tinjauan Bernama semalam juga mendapati penganut Hindu mula menunaikan nazar dengan membawa kavadi, pal kudam dan mencukur rambut yang dianggap paling suci dengan menaiki 272 anak tangga Batu Caves menuju ke kuil di dalam gua itu.

Pada 14 Dis, Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan masih memperhalusi SOP perayaan Thaipusam dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat, serta penularan varian Omicron Covid-19.

Susulan itu, Halimah kini dalam proses melakukan tinjauan ke lokasi sambutan perayaan itu bagi memperkemas cadangan SOP. Sesi tinjauan itu untuk melihat dengan lebih dekat proses perjalanan dan pergerakan pedati serta lokasi bagi upacara keagamaan itu.

– BERNAMA


Pengarang :