Mekanik membaiki motosikal yang rosak dilanda banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sebulan lepas bah besar, penduduk Selangor kembali bangkit

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

SHAH ALAM, 18 JAN: Pada 18 Dis lepas, Selangor yang merupakan negeri termaju di negara ini, mengharungi detik hitam dalam tempoh setengah abad apabila dilanda bah besar yang langsung tidak diduga kehadirannya, menyaksikan ribuan penduduk terperangkap di rumah sendiri dan juga di jalan raya.

Genap sebulan selepas bencana berlaku, rata-rata mereka yang terjejas sudah bangkit dan meneruskan kehidupan, namun pastinya bukan mudah untuk melupakan tragedi tersebut, terutama bagi yang kehilangan ahli keluarga – 25 orang maut dalam bencana itu, manakala nilai kerugian harta benda pula tidak terkira jumlahnya.

Sememangnya tidak ada siapa yang menduga hujan lebat berpanjangan bermula pagi Jumaat itu bakal membawa bencana besar kepada mereka pada hari berikutnya dan mengubah landskap negeri perindustrian tersebut. Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan jumlah taburan hujan pada hari berkenaan ialah lebih 300 milimeter, bersamaan jumlah purata hujan sebulan.

Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah memburukkan keadaan ialah fenomena air pasang besar yang turut melanda pada ketika itu, menyebabkan beberapa kawasan seperti Shah Alam yang juga ibu negeri, dan daerah berhampiran termasuk Dengkil, Banting, Kuala Langat dan Hulu Langat ditenggelami air sedalam 4.5 meter, dan paras air pula meningkat dengan pantas.

Pengalaman baharu 

Bagi penulis ini pula yang baru setahun menerajui Biro Bernama di Selangor, bencana itu adalah yang pertama dihadapi, dan dalam keadaan “kosong pengetahuan”, tidak dapat dinafikan penulis turut berkongsi rasa panik penduduk yang memuat naik ratusan gambar dan video mangsa terkandas di rumah dan jalan raya pada hari kejadian. Media sosial dilimpahi hantaran sedemikian.

Bencana itu menyebabkan banyak jalan utama terputus hubungan, selain ketiadaan bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi, sekali gus menyukarkan atur gerak pemberita untuk membuat liputan, khususnya tentang perkembangan terkini di Taman Sri Muda, iaitu kawasan yang paling teruk terjejas.

Terletak di barat daya Shah Alam, kawasan petempatan itu yang berjiran dengan Bukit Kemuning, tidak boleh diakses dari mana-mana arah akibat terkepung banjir yang menenggelamkan hampir 9,000 buah rumah, sekali gus misi bantuan segera tidak dapat dilaksanakan.

Meskipun begitu, laporan terkini perlu dihantar untuk maklumat orang ramai, dan penulis berjaya ke Bukit Kemuning, dan dalam keadaan gelap gelita tanpa bekalan elektrik itu jelas kedengaran hiruk-pikuk mangsa yang terperangkap di tingkat atas serta bumbung rumah mereka, mungkin kerana ketakutan, kesejukan dan juga kelaparan.

Bantuan hanya tiba selepas 48 jam bencana melanda, iaitu apabila air mula surut. Meskipun begitu, kedudukan petempatan itu yang lebih landai berbanding kawasan sekeliling menyebabkan banjir terus bergenang walaupun hujan telah lama berhenti. Pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam mudah alih untuk menyedut keluar air dan penduduk hanya dapat kembali ke rumah masing-masing lima hari kemudian.

Anggota bomba dan sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan Masjid Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas banjir ketika tinjauan pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sememangnya kawasan Taman Sri Muda cenderung mengalami banjir kilat, namun tidak pernah seburuk itu dan pastinya penduduk juga sama sekali tidak menduga bencana 18 Dis tersebut boleh meragut 12 nyawa jiran mereka.

Polemik kelestarian 

Insiden hitam itu mencetuskan polemik tentang kelestarian kawasan tersebut yang dihimpit pembangunan dari setiap arah, selain turut menimbulkan persoalan sama ada Taman Sri Muda masih selamat untuk didiami.

Pang Lu Tan, 72, yang tinggal di situ sejak 35 tahun lalu, berkata dia tidak pernah terfikir untuk berpindah walaupun telah dua kali berhadapan banjir besar termasuk pada 1995.

“Ini rumah yang saya beli hasil berjimat cermat semasa bekerja dulu… saya tidak merancang untuk berpindah, tapi saya harap kerajaan dapat melakukan sesuatu supaya risiko banjir dapat dikurangkan,” kata lelaki itu yang meluahkan harapannya kepada Bernama baru-baru ini.

Suriyani Abdul Razak, 40, juga tidak bercadang untuk berpindah kerana kos yang tinggi, namun mengakui kejadian 18 Dis itu menyebabkan dia mengalami trauma dan berasa bimbang setiap kali hujan turun.

Namun, dia kini lebih bersedia dengan memastikan semua barang penting telah diasingkan bagi memudahkan dibawa keluar sekiranya banjir melanda lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (tengah) menyampaikan sumbangan dapur masak kepada penduduk dalam Program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tinjauan Bernama pada minggu lepas mendapati kawasan itu sudah kembali “bangkit” dengan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat setempat semakin rancak sekalipun rata-rata penduduk yang ditemui mengaku mereka mengalami trauma.

Tinjauan di pusat komersial pula mendapati kebanyakan premis masih ditutup untuk kerja pembersihan dan pembaikan. Hanya kira-kira 20 peratus premis, merangkumi kedai makan, premis barangan elektrik dan bengkel kenderaan beroperasi.

Kerajaan negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan mengambil masa hampir tiga minggu untuk membersihkan Taman Sri Muda, dan menurut Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor, pihaknya kini dalam peringkat perancangan untuk memulihkan landskap dan infrastruktur di situ.

Dari segi mitigasi banjir pula, kerajaan negeri dilaporkan mengambil langkah segera termasuk membina satu lagi pintu air yang berkapasiti mengepam keluar 5,100 liter air sesaat dan dijangka siap dalam masa setahun, selain menyediakan pam air berkuasa tinggi mudah alih.

Sediakan pelbagai bantuan 

Kerajaan tidak lepas tangan dalam aspek bantuan kepada mangsa banjir. Selain kerja pembersihan, pelbagai bantuan lain turut disalurkan, antaranya bantuan kewangan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang masing-masing berjumlah RM1,000.

Mangsa banjir memilih pakaian percuma ketika program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 9 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bantuan lain ialah pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik sebanyak RM500 serta bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 dan RM15,000 atau RM56,000 untuk kediaman yang musnah sepenuhnya. Kesemua bantuan telah mula disalurkan pada 10 Jan lepas.

Bagaimanapun, temu bual Bernama dengan penduduk mendapati ramai antara mereka yang tidak tahu tentang bantuan tersebut, antaranya Mohd Hajarul Aswad Johari, 31, yang berkata dia hanya tahu tentang BWI dan BSB yang sering dikongsikan oleh media arus perdana dan media sosial.

Pengajaran 

Selepas sebulan insiden berlaku, kelemahan pengurusan bencana sama ada di pihak kerajaan negeri mahupun persekutuan serta agensi berkaitan, masih lagi menjadi polemik masyarakat, dan mahu tidak mahu pihak berwajib harus mengakui ada kelemahan dalam persiapan yang dilakukan mereka.

Selain itu, ada juga pihak melihat kegagalan mereka yang berkenaan mengambil endah amaran Jabatan Meteorologi Malaysia serta pakar alam sekitar tentang perubahan iklim dan impaknya, menyumbang kepada bencana besar tersebut.

Malah pakar tidak menolak kemungkinan Taman Sri Muda dan beberapa kawasan lain berisiko tinggi mengalami bencana serupa pada masa akan datang.

Bagi pengamal media seperti penulis, kami juga tidak mahu peristiwa 18 Dis itu menjadi liputan tahunan, apatah lagi bulanan di negeri ini. Justeru, diharapkan semua pihak – kerajaan dan juga rakyat – mengambil iktibar daripada sejarah hitam yang mencemari kepesatan pembangunan Selangor ini dan berusaha ke arah yang lebih baik.

– BERNAMA


Pengarang :