Pemantauan udara situasi banjir di sekitar Unisel dan sebahagian pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 20 Disember 2021. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bersiap awal walau tidak diramal alami bah besar, ADN jawab PM

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Selangor sudah menyediakan pelan perancangan banjir beberapa bulan sebelum bencana pada Disember walaupun tiada ramalan ancaman hujan luar biasa.

“Jika berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Selangor tidak diramalkan mengalami bencana besar. Pun begitu, Kerajaan Negeri tetap buat persiapan bencana hujung tahun seperi biasa,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Menjawab dakwaan perdana menteri di Twitter, beliau yang juga setiausaha politik Dato’ Menteri Besar menjelaskan perancangan awal itu dibuat sejak September dan Oktober lagi.

Difahamkan mesyuarat pertama pengurusan bencana peringkat negeri dibuat pada 6 September lalu diikuti latihan simulasi menghadapi monsun Timur Laut pada keesokannya.

Mesyuarat penyelarasan monsun Timur Laut dan fenomena air laut pasang besar diadakan pada 22 Oktober, sementara kenyataan Unit Pengurusan Bencana Negeri dikeluarkan pada 17 November.

Bagaimanapun persiapan yang dibuat hanya pada tahap biasa, jelas Juwairiya ketika menjawab ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini.

“Tahap kesiapsiagaan negeri pada waktu tempoh bencana tahap biasa dari aspek bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemindahan 5,000 mangsa dengan (bekalan makanan dan kelengkapan asas) dalam tempoh 10 hari sahaja.

Usaha menyelamat mangsa banjir dijalankan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Namun, bencana besar pada Disember lalu menyaksikan lebih 70,000 rakyat Selangor terjejas dalam tempoh yang singkat,” katanya lagi.

Beliau juga memuatkan tangkap layar ramalan MetMalaysia pada 17 Disember yang tidak membayangkan ancaman hujan tetapi hanya dikeluarkan pada jam 2 petang 18 Disember.

“Hanya pada petang 18 Disember, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan tahap bahaya bagi negeri Selangor walaupun hujan lebat berterusan sejak 17 Disember,” katanya lagi di Twitter.

Dalam ucapannya, perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.

Beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”

Susulan itu, Juwairiya mengkritik perdana menteri yang turut mendakwa “amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana” hingga perlu campur tangan kerajaan persekutuan.

“Ini bukan saat menuding jari kepada pihak lain! Menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (yang diketuai perdana menteri) untuk menjaga seluruh negara yang dilanda bencana,” katanya.


Pengarang :