Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin (kanan) bersama Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican (tengah) bercakap kepada media ketika Program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor perluas teknologi basmi kuman, elak penyakit pascabanjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri akan memperkenal dan memperluaskan teknologi efektif mikrobiologi (EM) selepas bencana bagi mengelak penyakit pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya bukan hanya tumpu pada pembersihan secara fizikal tetapi merawat kawasan longgokan sampah dan bekas longgokan di 11 stesen pemindahan sementara (TF).

“Sampah di TF ini tertinggal lebih 10 hari dan mungkin ia meninggalkan bakteria, kuman yang boleh membawa penyakit.

“Saya percaya dengan EM ini dapat membantu mengurangkan kesan bau dan menangani kuman,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau Program Pemulihan Pascabanjir di Kampung Padang Jawa hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata hampir 10,000 rumah yang terjejas banjir di kawasan itu akan menerima semburan teknologi EM.

“Tiga kampung terlibat iaitu Padang Jawa Petaling, Padang Jawa Klang dan Kebun Bunga. Selain rumah kita juga melakukan penyemburan di lorong-lorong.

“Teknologi EM ini bukan sahaja untuk membasmi kuman, menghilangkan bau tetapi ia juga menghasilkan baja secara organik yang boleh digunakan untuk tanaman,” katanya.


Pengarang :