AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor optimis capai pelaburan RM8 bilion walau pandemik

SHAH ALAM, 21 JAN: Selangor meletakkan sasaran RM8 bilion pelaburan langsung asing pada tahun ini, kata Exco pelaburan dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata sasaran itu lebih rendah berbanding RM12 bilion disasarkan pada tahun lalu susulan keadaan tidak menentu penularan Covid-19 terutama dengan kewujudan varian Omicron.

Jelasnya, keadaan itu memberi kesan kepada program promosi pelaburan di luar negara yang mungkin terpaksa dibatalkan susulan penutupan pintu sempadan negara.

“Kita juga perlu berhati-hati untuk mengelakkan delegasi dijangkiti Covid-19 seperti berlaku sebelum ini.

“Jadi kita letak sasaran lebih RM8 bilion dan kita akan berusaha untuk mencapainya di sebalik pelbagai kekangan,” katanya ditemui Media Selangor di sini hari ini.

Chang Khim berkata pihaknya masih memfokuskan kepada lima kluster teras dalam menarik pelabur asing ke Selangor iaitu elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, peralatan pengangkutan, makanan dan minuman serta sains hayat.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau berkata pihaknya melaksanakan promosi yang lebih kreatif dan mengikut perkembangan semasa antaranya penganjuran ekspo secara dalam talian.

“Kita juga akan meneruskan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) secara hibrid yang mendapat sambutan mengalakkan pelabur dalam edisi tahun lalu,” katanya.


Pengarang :