EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bercakap ketika sidang media Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

Selangor tuan rumah kejohanan badminton Asia, lapan negara sah bertanding

SUBANG JAYA, 27 JAN: Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan berprestij itu diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Selangor sedia menjadi tuan rumah dan bertepatan dengan dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita mengambil langkah berani bekerjasama dengan BAM dan Badminton Asia untuk memastikan industri sukan bangkit semula selepas ketidaktentuan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) dan pelbagai sukan lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini lapan negara termasuk Malaysia mengesahkan penyertaan antaranya Korea, India, Thailand, Hong Kong dan Kazakhstan.

“Selain itu, kita sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung tatacara operasi piawai (SOP) pemain bermula ketibaan di lapangan terbang hingga ke hotel dan seterusnya ke tempat perlawanan.

“Berhubung kehadiran penonton pula, kita masih menjalankan rundingan dan berharap KKM dapat mempertimbangkannya kerana kejohanan ini berlangsung dalam tempat yang besar,” katanya.


Pengarang :