Keadaan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai ketika tinjauan keadaan selepas banjir sekitar jam 2 petang pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua mangsa banjir pulang ke rumah malam tadi

SHAH ALAM, 1 JAN: Semua mangsa banjir telah pulang ke rumah apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter hari ini.

“Tepat jam 11.59 malam di hari akhir tahun 2021, kesemua PPS banjir di Selangor telah ditutup dan semua mangsa banjir telah pulang ke rumah. Alhamdulillah.

“Sekalung penghargaan buat para petugas, sukarelawan, agensi kerajaan dan NGO (badan bukan kerajaan) yang banyak membantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkomunikasi dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Semalam, hanya lima PPS di negeri ini kekal beroperasi menempatkan 134 keluarga dan 479 mangsa.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :