Seorang peniaga gembira menyediakan juadah yang dijual menerusi e-bazar Ramadan. Foto Facebook CSR MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Skim Niaga Darul Ehsan bantu lebih 1,400 wanita cari rezeki

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 1,476 usahawan wanita di Selangor mendapat manfaat melalui program Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) setakat awal Januari ini.

Angka yang direkod sejak Februari 2021 membabitkan pembiayaan bernilai RM6.07 juta dengan setiap daripada mereka menerima antara RM1,000 hingga RM5,000.

Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memaklumkan sebanyak RM10 juta diperuntuk bagi membantu penduduk negeri Selangor yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Skim ini terbuka kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan penyaluran modal pusingan perniagaan yang mudah, cepat dan tidak membebankan,” katanya di Facebook.

Terbuka kepada wanita dan semua kaum, individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah Selangor.

Pada 27 Ogos 2021, seramai 970 usahawan wanita di negeri ini mendapat manfaat program NaDI setakat 26 Julai 2021, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha memperkasa golongan tersebut ketika pandemik Covid-19 melibatkan belanja sebanyak RM3.945 juta.


Pengarang :