Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Suami isteri rentung, tujuh lagi melecur dalam kebakaran 40 rumah

TAWAU, 9 JAN: Sepasang suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di sini tengah malam tadi.

Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Julius John Stephen Jr berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diaturgerak ke lokasi.

“Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

“Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

“Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Hasoni Basiah, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

“Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

Nur Anita Saddu, 30, pula berkata dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

“Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

“Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa kebakaran.

Katanya segala keperluan mangsa sedang diusahakan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau dan Jabatan Kebajikan, selain berharap mangsa dapat bersabar ketika ini.

-BERNAMA


Pengarang :