Anggota Sukarelawan Selangor (SERVE) giat menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Bukit Lanchong, Subang Jaya. Foto Facebook Penggerak Belia Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Selangor ganding bahu bersih rumah baharu OKU mangsa banjir

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 25 Sukarelawan Selangor (SERVE) menggembleng tenaga membersihkan kediaman baharu seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang menjadi mangsa banjir di Batu 23, Hulu Langat baru-baru ini.

Penolong pengarah bahagian pembangunan generasi muda Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata kerja pembersihan rumah baharu Khaidirratul Alias @ Sopi di Kajang bertujuan meringankan beban mangsa terbabit.

“Dia (Khaidirratul) antara mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana pada 18 Disember tahun lalu. Selepas dimaklumkan dia bersama dua anaknya berpindah, kita segera menggerakkan sukarelawan untuk membantu.

“Selain aspek pembersihan, sukarelawan terbabit turut membantu mengecat rumah baharunya dan mengemas barang-barang,” kata Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar ketika dihubungi.

Anggota Sukarelawan Selangor (SERVE) mengagihkan bantuan ketika menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Bukit Lanchong, Subang Jaya. Foto Facebook Penggerak Belia Selangor

Sementara itu, Khaidirratul yang berusia lingkungan 30-an berterima kasih kepada sukarelawan berkenaan kerana sudi membantu keluarganya.

“Dengan rasa rendah diri, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas bantuan diberikan. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan saya sekeluarga,” katanya melalui video dikongsi MSN Selangor di Twitter.


Pengarang :