DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dari AS ke AG – Kenangan seorang pegawai PTD tulisan Tan Sri Ambrin Buang di Hotel Concorde, Shah Alam pada 20 Januari 2022. Foto Facebook Leow Chee Seng – Humanology Sdn Bhd
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor lancar buku bekas ketua audit negara

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dari AS ke AG – Kenangan seorang pegawai PTD tulisan bekas ketua audit negara

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ambrin Buang kerana menghasilkan buku berkisar pengalaman sepanjang 46 tahun dalam perkhidmatan awam

“Beta mengenalinya (Amrin) semenjak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang ketika itu Beta adalah Pemangku Raja Selangor.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan terutama ketika berkhidmat di Selangor,” titah Baginda sambil menyifatkan Ambrin pegawai yang cemerlang.

Sultan Selangor juga berharap buku berbahasa Inggeris bakal mendorong lebih ramai pegawai perkhidmatan awam berkongsi pengalaman sepanjang karier mereka.

“Beta menggalakkan budaya suka menulis buku ditanamkan pada fikiran setiap pegawai perkhidmatan awam agar buku dihasilkan dapat menyumbang kepada penambahan khazanah ilmu di negara ini khususnya di Selangor,” titahnya.

Pelancaran berlangsung di Hotel Concorde di sini. Hadir sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Ambrin berkhidmat selama 35 tahun mulai 1971 sebagai penolong setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian manakala jawatan terakhirnya ketua setiausaha di Kementerian Pelajaran pada 2006.

Jawatan penting yang pernah disandang antaranya timbalan ketua pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, timbalan pengarah (pengurusan) Institut Tadbiran Awam Negara dan pengurus besar kanan KL International Airport Berhad.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua audit negara selama 11 tahun sebelum bersara pada 2017.


Pengarang :