Pekerja ‘The Pickers Bundle’ menyusun pakaian terpakai untuk dilelong kepada orang ramai ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahun baharu beri sinar harapan buat peniaga Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 1 JAN: Kedatangan tahun baharu bagaikan memberi sinar harapan kepada peniaga sekitar Taman Sri Muda di sini apabila mereka kembali meneruskan perniagaan yang terhenti seketika akibat banjir dua minggu lalu.

Tinjauan SelangorKini mendapati aktiviti perniagaan di kawasan terbabit berjalan rancak terutama bengkel kereta dan motosikal, restoran, kedai pakaian, gunting rambut serta dobi yang dikunjungi pelanggan.

Namun, masih ada premis yang masih ditutup antaranya kedai serbaneka dan pasaraya berdekatan Plaza Taman Sri Muda, difahamkan berikutan proses pembersihan dan penyelenggaraan belum selesai.

Ahli keluarga Suhaila Sepian membantu membersihkan kedai dobi layan diri yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerja pembersihan pascabanjir juga sedang giat dijalankan penduduk di kawasan kediaman masing-masing dan mereka meneruskan hidup seperti biasa.

Turut kelihatan kumpulan sukarelawan yang membantu penduduk di sesetengah lokaliti selain lori sampah KDEB Waste Management (KDEBWM) keluar masuk bagi memungut sisa pascabencana.

Selain itu, liputan internet dan talian telekomunikasi di situ juga lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini.

Taman Sri Muda antara lokasi paling teruk terjejas di Selangor akibat bencana pada 18 Disember lalu termasuk Klang dan Hulu Langat.


Pengarang :