Peniaga bersiap sedia dengan barangan jualan untuk perayaan Tahun Baharu Cina di Cetro Mall, Klang pada 15 Januari 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tahun Baharu Cina kian terasa, peniaga mula jual kelengkapan raya

KLANG, 15 JAN: Bahang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut awal Februari kian terasa apabila peniaga mula menjual kelengkapan perayaan sejak minggu lalu.

Penganjur bazar jualan di Cetro Mall di sini mengakui sambutan dari minggu ke minggu bertambah baik dengan pengunjung lebih ramai berbanding minggu lalu.

Michelle Teoh. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

“Terdapat 50 gerai dengan antara barangan dijual seperti makanan, pakaian dan kristal. Kita menjalankan jualan ini pada hari minggu bermula minggu lepas.

“Promosi giat dilakukan di Facebook menyaksikan sambutan lebih baik pada minggu ini berbanding minggu lepas,” kata Michelle Teoh ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata bagi membantu peniaga yang masih terkesan dengan Covid-19, tapak gerai diberikan percuma dan dibiayai sepenuhnya oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Khim.

Teh Ming Jie. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Peniaga makanan, Teh Ming Jie, 32, berkata secara kebiasaan jualan memberangsangkan apabila semakin dekat dengan perayaan di mana orang ramai akan mula membeli-belah.

“Biasanya minggu pertama dan kedua kurang orang tetapi apabila masuk minggu berikutnya memang akan ramai.

“Setakat ini jualan untuk Tahun Baharu Cina di dalam talian adalah lebih baik mungkin juga masih ramai yang bimbang dengan Covid-19,” katanya.

Bagi peniaga dekorasi, Yee Cai Zhi, 22, mengakui Covid-19 menjejas pendapatan perniagaan tradisi keluarga berusia lebih 20 tahun itu.

“Kita terpaksa mengubah pendekatan dengan tidak bergantung sepenuhnya jualan secara langsung. Kaedah dalam talian lebih mendapat sambutan di mana jualan dapat dipasarkan ke seluruh negara,” katanya.


Pengarang :