Suasana pasar raya ketika tinjauan Media Selangor di pasar raya Tesco Ampang, Ampang pada sambutan Tahun Baharu Cina 12 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tahun Baharu Cina: Senarai barang kawalan diputus dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 25 JAN: Senarai barangan terbabit dalam skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Selangor akan diputuskan dalam masa terdekat, kata EXCO hal ehwal pengguna.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri akan diadakan esok bagi memutuskan perkara terbabit.

“Seperti biasa apabila ada perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina, pihak KPDNHEP akan melaksanakan skim harga maksimum. Lazimnya terdapat barangan dikawal seperti ayam, telur dan beberapa barang lain.

“Jadi, esok saya akan bermesyuarat dengan mereka sebelum memaklumkan apa barang yang dikawal,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan kepada penjaja kecil di perkarangan Wisma KoHijrah, Berjaya Park di sini hari ini.

Beliau turut menasihati peniaga supaya memberi kerjasama sepanjang tempoh penguatkuasaan skim berkenaan dengan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya bagi mengelak kegusaran pembeli.

Mohd Zawawi mengakui di sebalik kesukaran dihadapi rakyat yang terjejas pandemik Covid-19 dan banjir, terdapat sedikit peningkatan harga barangan basah di pasar sejak kebelakangan ini berdasarkan maklumat ramai.

“Melalui perbualan dan aduan tak rasmi, ramai yang mengeluh tentang kenaikan harga barangan. Kita minta peniaga beri kerjasama dengan menawarkan harga berpatutan dan terjangkau oleh pelanggan,” katanya.

 


Pengarang :