Koa Kim Seng (tengah) menggaul yee sang bersama ahli keluarga di kediaman Bandar Baru Klang pada 31 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tahun Baharu Cina: Tradisi makan besar bersama keluarga disambut sederhana

KLANG, 31 JAN: Masyarakat Tionghoa meneruskan tradisi makan besar pada malam Tahun Baharu Cina kali ini, namun secara sederhana berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

Koa Kim Seng. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Tinjauan Selangorkini sekitar daerah ini mendapati rata-rata keluarga menjalankan upacara wajib pada malam sambutan perayaan itu dengan mematuhi operasi piawai (SOP).

Ketua Kampung Baru Pandamaran Koa Kim Seng, 53, berkata seperti tahun lalu, seluruh ahli keluarga terdekat berkumpul di kediamannya di Bandar Baru Klang dekat sini tepat jam 7 malam untuk makan bersama dan menggaul yee sang.

“Sebenarnya sejak dulu lagi setiap kali malam perayaan, kami tak pernah makan mewah di hotel sebaliknya menikmati juadah masakan emak seperti kari ayam, sup dan makanan laut.

“Paling penting semua keluarga mesti berkumpul di sini memandangkan masing-masing jarang berjumpa atas kesibukan kerja. Jadi, peluang ini digunakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Song Sin Kai. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara itu, Song Sin Kai, 33, berkata tradisi makan besar sempena Tahun Harimau hanya membabitkan dirinya dan lima ahli keluarga lain kerana sanak-saudara tinggal berjauhan selain datuk dan nenek sudah meninggal dunia.

“Mereka (sanak-saudara) pun buat (makan besar) di rumah masing-masing. Jadi, hanya kami berenam berkumpul dan makan malam bersama.

“Lagipun kami mahu ambil langkah berjaga-jaga dan elak berkumpul ramai-ramai disebabkan Covid-19 belum reda sepenuhnya,” katanya yang menetap di Palm Grove dekat sini.

Bagi Lye Siew Fen, 40, upacara makan malam kali ini dibuat di kampung orang tuanya dekat Klang sebelum beraya di rumah ibu bapa suaminya di Raub, Pahang pada hari raya kedua.

Lye Siew Fen. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Beliau berkata perayaan tahun ini memberi peluang keluarganya berkumpul selepas tidak dapat berbuat demikian pada tahun lepas.

“Makan malam kami tidaklah besar mana pun, cukup kami sekeluarga dapat berhimpun dan menjamu selera sama-sama sebab tahun lepas tidak berpeluang berbuat demikian.

“Kalau tengok sekarang pun harga barang semakin naik, jadi kena berjimat cermat,” kata ibu kepada seorang cahaya mata.


Pengarang :