Selangorkini
Kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan ketika tinjauan pada 26 Januari 2022. Foto BERNAMA
PBT SELANGOR

Tanah mendap: Cerucuk besi dipasang, elak runtuhan susulan berlaku

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memasang cerucuk kepingan 12 meter secara sementara sepanjang 150 meter di lokasi tanah mendap Jalan LP 1A/2,  Lestari Perdana, Seri Kembangan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MBSJ Azfarizal Abdul Rashid berkata kerja pemasangan itu mula dilaksana jam 1 pagi tadi dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“MBSJ sedang mengenal pasti punca kegagalan struktur tebing dan akan berbincang bersama agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Kerja pembaikan menyeluruh di tebing ini pula dijangka siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial di kawasan terbabit diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Pihak polis, bomba dan pasukan Pantas MBSJ turut mengawal 24 jam lokasi tersebut sejak semalam bagi mengenal pasti jika ada sebarang pergerakan tanah yang boleh menyebabkan kejadian berulang,” katanya.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam ke longkang besar susulan mendapan tanah di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana.

Insiden sama pernah berlaku pada 2017, iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

 


Pengarang :