Anggota Polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak meninjau lokasi tanah runtuh di Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja baik pulih tebing Apartment Teratai ambil masa dua bulan

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pemulihan kekal tebing di Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang yang runtuh akibat hujan lebat baru-baru ini dijangka mengambil masa dua bulan untuk siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata ketika ini, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam proses melantik kontraktor untuk pelaksanaan kerja terbabit.

“MPS memasang kanvas di tebing yang terjejas sebagai langkah pemulihan awal sementara menunggu kerja pembaikan kekal dilaksanakan bagi memastikan pangsapuri berkenaan lebih selamat.

“Apabila kerja berkaitan siap, jawatankuasa pengurusan bersama akan lihat sama ada masih berlaku pergerakan (tebing). Jika semua dalam keadaan baik, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan seramai 12 keluarga apartment terbabit masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Siantan, Gombak dengan diberi bekalan makanan dan kemudahan lengkap.

Menurutnya, mangsa juga dibenarkan untuk pulang ke rumah keluarga terdekat atau menyewa di mana-mana tempat yang lebih kondusif mengikut kemampuan.

“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut bersetuju memberi bantuan RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit kepada penghuni apartmen berkenaan yang terpaksa mengosongkan kediaman berikutan insiden itu.

“Maka, terpulang kepada mereka sama ada mahu guna bantuan tersebut untuk cari tempat lain atau kekal di PPS, asalkan tidak kembali ke kediaman asal buat masa ini,” katanya.

Apartment Teratai antara enam lokasi bawah pentadbiran MPS yang kritikal dan perlu pembaikan segera susulan tebing runtuh berpunca hujan lebat pada 18 Disember lalu.


Pengarang :