Selangorkini
MBSJ melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing longkang susulan mendapan tanah di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang pada 25 Januari 2022. Foto ihsan MBSJ
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tebing runtuh, kerja pengukuhan dibuat serta-merta malam tadi (VIDEO)

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pengukuhan tebing yang runtuh di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang dilaksana serta-merta oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) malam tadi.

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya Azfarizal Abdul Rashid berkata punca runtuhan sedang dikenal pasti selain merangka pembaikan segera bagi mengelak insiden sama berulang.

“Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan parkir kereta dan sebahagian jalan. Lima kenderaan terkesan tetapi tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial turut diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Kenderaan di kawasan itu juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat,” kata Azfarizal.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam lima hingga enam meter dalam longkang besar di Lestari Perdana susulan runtuhan tebing akibat hujan lebat.

Insiden di hadapan bengkel kereta yang jaraknya tujuh meter dari lokasi kejadian pernah berlaku pada 2017.


Pengarang :