Pendaftaran ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meningkat sebanyak 57 peratus kepada 146,000 orang pada suku pertama 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tengku Zafrul: Jika keluarkan lagi duit KWSP, ramai ahli miskin bila bersara

KOTA BHARU, 15 JAN: Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia berikutan kemerosotan berterusan simpanan persaraan ahli KWSP, kerana ketika ini hampir separuh ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55 peratus adalah bumiputera.

“Kalau dibenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan lebih ramai ahli perlu bersara di bawah paras garis kemiskinan, dan juga menyebabkan beban yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia di masa depan terutama jika kegawatan ekonomi berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian awam oleh Pemuda UMNO bahawa lebih 97 peratus ahli mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘sekali bayar’.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengimbangkan antara kepentingan rakyat untuk jangka pendek dan juga jangka masa panjang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap peka dengan masalah rakyat, dan pelbagai pendekatan diusahakan untuk memelihara kebajikan rakyat termasuk kepada golongan B40 dan M40.

“Di bawah Bajet 2022 ini kalau kita lihat lebih RM31 bilion dikhususkan untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, (menerusi) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kerajaan juga memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, ini sebahagian kecil daripada pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :