P Paruvathy bersama keluarganya membuat persiapan perayaan Thaipusam di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 16 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Terjejas banjir bukan halangan sambut Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Biarpun terlibat musibah banjir baru-baru ini, perayaan Thaipusam tetap disambut penganut Hindu walaupun dalam keadaan sederhana.

Suri rumah P Paruvathy, 60, berkata banjir yang melanda Selangor terutama kawasan kediamannya di Taman Sri Muda menjadi satu peristiwa yang menginsafkan.

“Kami sekeluarga memang berasa sedih dengan kejadian menimpa terutama ketika menyambut Thaipusam kerana rumah masih belum selesai kemas sepenuhnya.

“Bagaimanapun kami terima dan bersyukur sambutan Thaipusam masih boleh disambut meskipun perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

P. Paruvathy bersama keluarganya membuat persiapan perayaan Thaipusam di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 16 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ibu kepada lima anak itu turut berkata kejadian banjir beri pengajaran kepada semua supaya hidup secara sederhana, bersatu padu dan tidak menganiaya sesama insan.

“Pada tahun ini, saya berdoa supaya kita semua diberi kesihatan yang baik dan mendoakan anak-anak mendapat pelajaran sempurna demi masa depan mereka,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’ pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.


Pengarang :