Penganut agama Hindu melakukan upacara keagamaan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang sambutan Thaipusam pada Selasa depan ketika tinjauan di Batu Caves pada 13 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Thaipusam: 1,000 sukarelawan pantau pengunjung kuil, bendung penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor akan menggerakkan lebih 1,000 sukarelawan bagi membantu penganut Hindu menyambut Thaipusam pada 18 Jan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Bercakap kepada Bernama, Setiausaha Kehormat jawatankuasa kuil tersebut C. Sethupathy berkata setakat ini lebih 500 sukarelawan daripada orang awam telah mendaftar dan selebihnya adalah ahli jawatankuasa dan pengikut kuil itu sendiri.

“Sukarelawan ini akan membantu dari segi memastikan penjarakan sosial oleh penganut atau pengunjung, mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki kuil dan SOP yang lain,” katanya.

Beliau juga berkata kuil yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7 meter (m) itu, sedang melakukan persiapan akhir dengan meningkatkan SOP ketat bagi memastikan pengunjung mematuhinya dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Sethupathy juga berkata pihaknya kini sedang menguruskan pendaftaran dalam talian bagi penganut yang akan menjunjung ‘paal koodam’ atau belanga susu, supaya mereka diberikan tag bagi melancarkan proses perjalanan sambutan tanpa sebarang kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Pada perayaan tersebut, penganut Hindu akan menunaikan nazar dengan menjunjung ‘paal koodam’ yang dianggap paling suci dan ‘kavadi’ yang dihiasi cantik dengan menaiki ratusan anak tangga Batu Caves menuju kuil di dalam gua itu.

Sethupathy juga memaklumkan sambutan Thaipusam akan bermula pada 16 Jan ini dengan perarakan ‘Pedati Perak’, iaitu perarakan arca membawa Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee di sini ke Batu Caves pada pukul 10 malam dan dijangka tiba di kuil Batu Caves pada 10 pagi hari berikutnya.

Menurutnya perarakan pulang dari Batu Caves akan bermula pada 4 petang 19 Jan dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan kedua-dua perarakan itu hanya akan melibatkan 70 ahli pengurusan kuil berkenaan, manakala orang ramai tidak dibenarkan hadir.

Semalam, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam kali ini.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Thaipusam turut disambut di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

— BERNAMA


Pengarang :