Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (tengah) ketika meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves pada 13 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Thaipusam: SOP sambutan cadangan pengurusan kuil, nilai ancaman Omicron

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kesemua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil serta penilaian risiko kesihatan dan pencegahan penularan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata semua cadangan dan permintaan tersebut dibentangkan kepada kementerian itu menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.

Jelasnya, semua cadangan tersebut seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.

“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut…maka terhasil SOP ini.

“Namun, ada pihak yang tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya telah berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves hari ini.

Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Jan) hingga 19 Jan dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian berkenaan tidak ‘mendengar’ permintaan daripada penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata pihak pengurusan kuil akan menyediakan ‘tag’ bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :