Kerja pembersihan pasca banjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tiga PBT selesai bersihkan sampah pascabanjir sepenuhnya

SHAH ALAM, 4 JAN: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai menjalankan operasi pembersihan sisa pascabanjir sepenuhnya setakat semalam.

Menurut laporan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Facebook, PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Manakala lima lagi PBT mencapai status 80 hingga 98 peratus dengan hampir 41,000 tan sampah pukal berjaya dikutip.

Kawasan PBT yang sebelum ini mengalami banjir yang teruk hampir lengkap operasi pembersihan seperti berikut:

– Majlis Perbandaran Kuala Selangor – 98 peratus

–  Majlis Perbandaran Kuala Langat – 95 peratus

– Majlis Perbandaran Klang – 85 peratus

– Majlis Bandaraya Subang Jaya – 82 peratus

– Majlis Bandaraya Shah Alam – 80 peratus

Pemilik premis pemborong makanan runcit, Lily Tan, 50, dibantu pekerjanya membersihkan kedainya ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum ini, syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember secara berperingkat.

KDEBWM turut mendapat bantuan sukarelawan dan PBT termasuk dari negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

 

 

 


Pengarang :