Petugas kesihatan menyediakan dos penggalak vaksin Covid-19 di pusat vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 8 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tinggal 2.3 peratus untuk capai semua penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Sebanyak 2.3 peratus sahaja lagi diperlukan negara untuk mencapai angka 100 peratus populasi dewasanya lengkap divaksinasi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow, setakat 11.59 malam tadi, seramai 22,876,224 individu atau 97.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Setakat semalam juga, 98.9 peratus atau 23,162,767 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,763,787 individu atau 87.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,854,126 individu atau 90.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 252,817 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,898 dos pertama, 4,549 dos lengkap dan 245,370 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 58,812,436 dos dengan 7,356,445 daripadanya adalah dos penggalak.

– BERNAMA


Pengarang :