Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tipu jadi mangsa banjir, permohonan bertindih punca bantuan lambat

SHAH ALAM, 29 JAN: Pejabat Daerah dan Tanah Klang menerima kira-kira 70,000 permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam.

Pegawai daerah Mohd Faizal Abd Raji berkata sebanyak 44,000 permohonan berkenaan layak menerima sumbangan RM1,000 bersekali Bantuan Wang Ihsan dengan jumlah sama daripada kerajaan persekutuan.

Jelasnya setakat semalam juga, hampir 14,000 keluarga menerima manfaat termasuk sumbangan RM10,000 kepada enam keluarga waris korban banjir sejak diagih mulai 28 Disember.

“Sekarang ini kita sedang menyemak semua permohonan dengan teliti kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan walaupun bukan mangsa banjir.

“Kita turut mengesan permohonan bertindih. Jadi proses ini mengambil masa bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar jadi mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :