Selangorkini
Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tujuh tanah runtuh dikesan hari ini, enam di Selangor

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tujuh kejadian tanah runtuh melibatkan enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga 10 pagi, pada hari pertama tahun ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian tanah runtuh di seluruh negara berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“JMG telah memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG Negeri, bagi inventori tanah runtuh sepanjang MTL 2021/2022,” menurut kenyataan dikeluarkan Nadma itu.

Agensi itu memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan kejadian bencana di 53 buah lokasi merangkumi banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh, setakat 10 pagi ini.

Mengenai status terkini infrastruktur komunikasi yang terjejas susulan bencana banjir, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sejumlah 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi dibaik pulih, iaitu 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas.

MCMC memaklumkan berdasarkan data kumulatif bermula 19 Dis, baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih, manakala infrastruktur komunikasi yang telah dibaik pulih sepenuhnya dilaporkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Port Dickson, Rembau, Seremban, Pekan, Raub, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak.

Selain itu, Nadma memaklumkan setakat semalam (30 Dis), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia selesai melakukan kerja pembersihan di 85 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

Negeri terlibat adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran jumlah sisa di tapak transit adalah 2,269 tan dan di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan, melibatkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

Sementara itu, susulan kemas kini Amaran Cuaca Berterusan Buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana yang dikemas kini dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Nadma juga memaklumkan Met Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dapat bersiap siaga.

-BERNAMA


Pengarang :