Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor (dua, kanan) menerima sumbangan daripada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohamed Salim Aljunaibi (dua, kiri) dan Amani Al Hashmi (kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir di Wisma MBSA, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Hadir sama Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj (kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

UAE sumbang hampir 10,000 barangan asas kepada mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 9,600 barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri ini semalam.

Barangan berupa beras, minyak masak, tepung gandum dan gula serta kit pencuci seperti berus gigi, tuala wanita dan cecair pencuci tangan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk bandar Shah Alam berkata kesemua barangan terbabit akan diedar kepada mangsa banjir yang dikenal pasti dalam tempoh terdekat khususnya mangsa di Taman Sri Muda.

“Kita berterima kasih kepada UAE yang melalui Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mereka menyampaikan sumbangan ini bagi membantu mangsa yang terkesan.

“Kita mempunyai data mangsa yang benar-benar terkesan yang diperoleh dari ahli majlis. Kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan dari wakil PBSM UAE Mohamed Salim Aljunabi di Wisma MBSA semalam.

Sebelum ini, MBSA mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 


Pengarang :