Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama Canselor Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj (dua,kiri), Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (dua,kanan), Pro Canselor Tan Sri Dato’ Setia Ismail Adam (kanan) serta Pro Canselor Dato’ Setia Dr Anuar Masduki pada majlis penyerahan watikah pelantikan canselor dan pro anselor Unisel di kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 13 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Unisel mampu hadapi cabaran, lahirkan insan cemerlang

BESTARI JAYA, 13 JAN: Dato’ Menteri Besar yakin pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) dari peringkat bawah hingga canselor mampu menempuh cabaran mendatang jika bersedia semua aspek.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri itu perlu bersedia sama ada bidang ilmu pengetahuan serta teknologi untuk mendepani cabaran baharu.

“Kita dalam pertarungan, kena bersedia dalam pelbagai hal dan perkara. Kerajaan Negeri akan berganding bahu dengan semua jabatan dan agensi bagi menjadikan institusi pendidikan ini mampu melahirkan insan cemerlang.

“Semangat muafakat mampu jadikan kita hebat, terulung dan boleh lahirkan insan berguna,” katanya berucap dalam majlis penyerahan watikah pelantikan canselor dan pro canselor Unisel di Kampus Bestari Jaya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan watikah pelantikan canselor kepada Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj manakala pro-canselor kepada Dato’ Setia Dr Anuar Masduki dan Tan Sri Ismail Adam.

Jelas Amirudin, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyeragamkan tarikh pelantikan itu berkuatkuasa 1 Mac 2021.

“Baginda berkenan menyambung pelantikan Arshad sebagai Canselor sehingga 28 Februari 2026 manakala Anuar dan Ismail dilantik semula hingga 29 Februari 2024.

“Saya mewakili semua ahli lembaga pengarah PIYSB dan keluarga Unisel mengucapkan tahniah atas pelantikan ini,” katanya.


Pengarang :