Selangorkini
Keadaan bengkel Zakaria Zainal selepas dilanda banjir pada 18 Disember tahun lalu. Foto Ihsan Zakaria Zainal
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usahawan Hijrah lega dikecuali bayar pinjaman dua bulan, guna duit baiki bengkel

SHAH ALAM, 21 JAN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memanfaatkan moratorium bayaran pinjaman dengan membaiki bengkel motosikal yang terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Zakaria Zainal, 40, berkata penangguhan bayaran dua bulan meringankan beban kerana bengkel yang dibuka sejak 2001 di Kampung Seri Puchong, Batu 13 perlu dibaik pulih selepas ditenggelami air hingga paras paha.

“Setiap bulan saya perlu bayar sebanyak RM2,145 dan dengan penangguhan pinjaman ini dapat digunakan untuk baiki bengkel serta mengganti beberapa kelengkapan dalam bengkel.

“Saya bersyukur atas keprihatinan Hijrah dan memahami masalah serta bebanan ditanggung peminjam dengan melaksanakan moratorium,” katanya kepada SelangorKini.

Bapa kepada kepada dua cahaya mata itu berkata selain bengkel, beliau juga perlu membaiki semula tujuh motosikal pelanggan yang berada di bengkel.

“Kejadian pada 18 Disember terlalu pantas dan tidak sempat selamatkan apa-apa di bengkel. Namun, bersyukur pelanggan tidak marah dan memahami musibah yang melanda.

“Selain itu, saya juga perlu menguruskan rumah yang dimasuki air hingga paras dada mengakibatkan keseluruhan rumah musnah. Saya cuma sempat ambil dokumen penting dan baju anak-anak,” katanya.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan pengumuman itu Hijrah perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM15 juta.

Keadaan bengkel Zakaria Zainal selepas dilanda banjir pada 18 Disember lalu.

Pengarang :