Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Video mata pelajaran tambahan antara tambah baik portal tuisyen percuma

SHAH ALAM, 17 JAN: Video pembelajaran beberapa subjek tambahan antara penambahbaikan dalam portal ePTRS.my pada tahun ini, menurut Dato’ Menteri Besar.

Infografik dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan video yang dimuatkan ialah mata pelajaran sains tulen seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia selain Pendidikan Islam serta Moral.

“Kerajaan Negeri terus mengutamakan agenda pendidikan anak-anak Selangor menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Dianggarkan 60,000 pelajar akan menerima manfaat merangkumi pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan juga tahun enam dengan peruntukan RM7 juta,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sebelum ini, portal berkenaan memuatkan 81 video pembelajaran merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

Pada 11 Januari lalu, Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri memberitahu seramai 60,000 pelajar tingkatan lima dan tahun enam di Selangor disasar menyertai PTRS kali ini.

Jawatankuasa itu berkata 50,000 peserta membabitkan calon SPM manakala baki pelajar tahun enam yang mengikuti kelas secara maya dan bersemuka selain mendapat modul pembelajaran percuma.

Jelas jawatankuasa terbabit, seramai 10,000 calon SPM dari keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan guru bimbingan menerima manfaat kelas tuisyen berserta modul pembelajaran, manakala 20,000 pelajar kategori sama tetapi mampu belajar sendiri menerima modul pembelajaran.

Pada 26 November tahun lalu, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2022 mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk meneruskan PTRS bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.


Pengarang :