Selangorkini
Keadaan terkini di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves menjelang sambutan Thaipusam pada 18 Januari ketika tinjauan pada 13 Januari 2022. Foto BERNAMA
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Wakil rakyat gesa SOP Thaipusam diteliti, permudah masyarakat Hindu ke kuil

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan diminta mengkaji semula tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Thaipusam untuk kemudahan masyarakat Hindu hadir ke kuil mengikut kapasiti sesebuah rumah ibadat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Sentosa Dr G Gunarajah berkata keputusan mengehadkan 6,000 penganut sehari untuk upacara sembahyang di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves disifatkan kurang munasabah dengan keluasan kawasan terbabit.

“Kehadiran ke kuil lain bagi upacara sama juga perlu dikaji dengan membenarkan lebih ramai penganut mengikut keluasan selain pematuhan SOP ketat.

“Saya berharap Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique melihat perkara ini dengan terbuka dan bersedia membuat satu keputusan lebih adil kepada masyarakat Hindu,” katanya kepada Selangorkini.

Gunarajah berkata peniaga kecil yang sudah mengeluarkan modal membeli barang perlu dibenarkan berniaga dengan kawalan agensi penguatkuasa dan dikenakan hukuman setimpal jika gagal mematuhi SOP.

Beliau menjelaskan pengumuman saat akhir tidak membenarkan gerai jualan sementara di dalam atau luar kawasan kuil menindas peniaga kecil yang sudah membuat persiapan awal.

“Sudah pasti, kesempitan dan cabaran ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan sejak dua tahun lepas memberi impak sangat besar kepada peniaga kecil ini.

“Inilah masanya mereka ingin kembali bangkit mendapatkan sedikit pendapatan melalui perayaan tahunan. Setelah lebih dua tahun negara dilanda Covid 19, masyarakat sudah sedia maklum SOP wabak itu,” katanya.

12 Januari lalu, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antara lain hanya membenarkan upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati, dibenarkan.

Upacara tersebut dibenarkan bermula semalam hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi dan perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Januari ini serta 19 Januari bermula jam 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula jam 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.


Pengarang :