Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Jawa, Batu 19, Hulu Langat pada 1 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Hulu Kelang hulur bantuan kepada mangsa banjir Kampung Jawa

HULU LANGAT, 1 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang hari ini menyampaikan sumbangan kewangan kepada 18 keluarga di Kampung Jawa Batu 19 di sini yang terjejas dalam kejadian banjir pertengahan Disember lalu.

Saari Sungib berkata kehadiran ke perkampungan itu juga untuk memberi semangat moral kepada penduduk yang masih bersedih dengan tragedi berkenaan.

Menurutnya, beliau terpanggil membantu selepas melihat penderitaan penduduk yang ada kediamannya musnah sepenuhnya dalam kejadian 18 Disember lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi saya hadir dengan bawa sumbangan dan mendengar permasalahan untuk meringankan sedikit penderitaan mereka,” katanya ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk terbabit di sini hari ini.

Kampung itu antara kawasan paling terjejas di Hulu Langat dengan tiga rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dalam bencana terburuk dalam tempoh 50 tahun lalu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :