Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zamanhuri menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto: SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Pelabuhan Klang gesa bukan mangsa tidak mohon bantuan banjir

KLANG, 12 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang meminta individu tertentu tidak mengambil kesempatan memohon Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sedangkan mereka bukan mangsa terjejas banjir Disember tahun lalu.

Azmizam Zamanhuri berkata perkara itu timbul selepas Pejabat Daerah dan Tanah Klang ada menerima permohonan orang awam untuk tujuan itu yang mencurigakan.

“Ada segelintir pemohon mengambil kesempatan apabila borangnya diisi tidak lengkap dan meragukan.

“Namun, pejabat daerah akan terus membuat semakan supaya mangsa yang benar-benar terkesan sahaja menerima bantuan ini,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Azmizam turut menegaskan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil hak orang yang lebih memerlukan.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zamanhuri bersama petugas menjalankan proses penyerahan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto: SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Ada pihak yang rumah mereka cuma naik air di halaman hanya paras buku lali, itu pun nak buat permohonan bantuan banjir. Tidak adil untuk mangsa benar-benar terkesan. Saya minta jangan memohon jika bukan hak kita kerana peruntukan ini disediakan khas buat mangsa,” katanya.

Azmizam turut bercadang mahu membuka lebih banyak pusat penyerahan bantuan bagi memudahkan mangsa banjir menerima sumbangan Kerajaan Negeri.

“Bagi individu yang belum memohon pula, anda masih boleh membuat permohonan sebelum 31 Januari di PTD Klang atau pusat khidmat DUN Pelabuhan Klang,” katanya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai hujung Januari ini.


Pengarang :