Selangorkini
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar (kanan) mengagihkan tong sampah kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Bangi, Hulu Langat pada 9 Januari 2022. Foto Facebook Mazwan Johar
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sungai Ramal ganti 150 tong sampah dihanyut banjir

SHAH ALAM, 17 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal menyumbangkan 150 tong sampah beroda kepada penduduk terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Ahli Dewan Negerinya Mazwan Johar berkata bantuan diserahkan kepada mangsa di Kampung Bangi, Hulu Langat pada 9 Januari lalu bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah kerana ketiadaan tempat pembuangan kerana tong penduduk dihanyutkan banjir.

“Jadi kami ambil inisiatif sediakan tong sampah supaya penduduk dapat membuang sisa buangan di tempat betul dan memastikan persekitaran sentiasa bersih.

“Bantuan ini dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan kerana mereka mungkin perlu berbelanja membeli barang keperluan lain yang lebih penting,” katanya di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar (kiri) mengagihkan tong sampah kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Bangi, Hulu Langat pada 9 Januari 2022. Foto Facebook Mazwan Johar

Mazwan berkata pihaknya pada 13 Januari turut menghulurkan tong gas memasak disumbangkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) kepada 20 penduduk di perkampungan itu.

“Diharapkan sumbangan itu dapat mengurangkan beban mereka yang kini dalam proses memulihkan kembali kehidupan,” katanya.

Jelas beliau, bantuan tersebut adalah tambahan kepada inisiatif mengurangkan beban mangsa banjir diberikan sebelum ini seperti RM1,000 menerusi Bantuan Selangor Bangkit dan bakul makanan.


Pengarang :