Mangsa banjir membawa pulang barangan sumbangan yang baru diterima di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Kuala Langat pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wanita Orang Asli sempat bertunang sebelum rumah dilanda banjir

BANTING, 1 JAN: Seorang wanita Orang Asli sempat disarungkan cincin bertunang sebelum kawasan rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini dilanda banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Nurul Suziana Poja, 34, berkata dia bersama pasangan sedang bergambar di pelamin sebelum menyedari limpahan air deras masuk ke dalam rumah hingga paras lutut pada kira-kira jam 4.30 petang.

Nurul Suziana Poja, 34. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ketika itu memang hujan lebat tetapi tak sangka pula air boleh naik dengan pantas sehingga menyebabkan banjir. Mujurlah sempat buat majlis (tunang), cuma banyak barang rumah rosak termasuk hantaran bernilai RM10,000.

“Kalau ikutkan sedih pun ada, namun reda dengan ketentuan tuhan dan anggap ia sebagai kenangan buat kami kerana bertunang dalam banjir,” katanya yang menetap di kampung terbabit sejak lebih 20 tahun lalu.

Terdahulu, Nurul Suziana antara 237 keluarga mangsa bencana di kampung berkenaan menerima bantuan kelengkapan rumah berupa dapur gas, selimut, toto dan bantal disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik berkata dia juga sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 8 Januari ini namun belum memutuskan sama ada diteruskan atau sebaliknya.

“Kami memang rancang untuk bertunang sekejap sahaja dan kahwin awal Januari tetapi tak pasti nak tangguh atau macam mana sebab rumah rosak dan dipenuhi lumpur.

Udin Rendik, 53. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, kami sekeluarga bersama sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) sedang bertungkus-lumus cuci rumah dengan harapan agar majlis perkahwinan dapat dilaksanakan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Udin Rendik, 53, mengakui terkilan berikutan motosikal terpakai yang baharu setahun digunakan hanyut dibawa arus dalam insiden berkenaan.

“Itulah satu-satunya motosikal yang saya ada dan dibeli menggunakan titik peluh sendiri, tetapi bersyukur kerana saya dan cucu selamat,” katanya yang bekerja sebagai pekebun.

Hadi Anak Jembik, 50. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan Hadi Anak Jembik, 50, terharu atas keprihatinan Kerajaan Selangor termasuk NGO dan sukarelawan yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada Orang Asli terjejas.

Seperti insiden pada 1971, katanya, banjir kali ini merosakkan seluruh perkampungan dihuni kira-kira 683 penduduk itu.

“Penduduk tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah mereka, namun kita berterima kasih kepada banyak pihak yang sudi melaksanakan kerja pembersihan pascabanjir di sini,” katanya.


Pengarang :