Orang ramai mendaftar bagi mengambil Bantuan Selangor Bangkit (BSB) Fasa 1 Daerah Petaling di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Shah Alam pada 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waspada helah ejen caj RM200 ketika mohon bantuan bah

SHAH ALAM, 5 JAN: Rakyat negeri ini diminta berwaspada dengan tipu helah ejen yang mengenakan bayaran RM200 bagi setiap permohonan bantuan banjir oleh Kerajaan Selangor.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunaraj berkata sikap tidak bertanggungjawab itu dikesan aktif sekitar Klang yang menyasarkan warga emas dan ibu tunggal.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu ibarat menangguk di air keruh ketika penduduk berdepan kesempitan akibat bencana pada Disember lalu.

“Susulan itu, saya menyeru semua warga Selangor untuk berhati-hati dengan tipu helah sesetengah pihak yang kononnya ingin membantu namun mempunyai tipu muslihat di sebaliknya.

“Warga Selangor yang terkesan perlu berhubung terus dengan pejabat Ahli Dewan Negeri dan pejabat daerah dan tanah masing-masing bagi mendapatkan bantuan dan sokongan,” katanya dalam kenyataan.

G Gunaraj turut membuat laporan polis bagi mencegah sindiket yang mengambil kesempatan dan memaklumkan setiap pusat khidmat bekerja keras membantu rakyat terjejas.

Pada 21 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :