AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yayasan Selangor sedia 389 tempat, tawar biasiswa pelajar tingkatan satu

SHAH ALAM, 24 JAN: Permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu 2022 bawah Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Selangor (RKPYS) dibuka mulai esok.

Sebanyak 389 tempat disediakan meliputi 29 sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur yang turut menawarkan asrama, biasiswa dan kelas bimbingan, maklum Yayasan Selangor dalam kenyataan.

Menurutnya, pelajar juga bakal mengikuti program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.

“Semua murid tahun enam (2021) negeri Selangor yang berkelayakan dipersilakan untuk memohon tertakluk kepada syarat dan had kuota yang ditetapkan,” kata yayasan itu.

Tambahnya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.yayasanselangor.org.my dan kemudian mencetak borang tersebut serta dihantar bersama dokumen yang diperlukan.

Serahan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor boleh dibuat melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 11 Februari 2022.

Kriteria ditetapkan seperti berikut:

  1. Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah
  2. Bersekolah rendah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah rendah swasta berdaftar bawah KPM (keutamaan kepada murid luar bandar)
  3. Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun
  4. Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan perkapita (pendapatan ibu bapa bahagi jumlah isi rumah) kurang daripada RM2,000 sebulan
  5. Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia
  6. Pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dengan mendapat pengesahan doktor. Pemohon tidak cacat fizikal yang menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain

 


Pengarang :