Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah bercakap kepada media berhubung prestasi kutipan Kupon Infaq sepanjang Ramadan 2021 di ibu pejabat Yide, Seksyen 7, Shah Alam pada 28 Januari 2022. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide kutip lebih RM650,000 kutipan Kupon Infaq sepanjang Ramadan 2021

SHAH ALAM, 30 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengutip RM651,110.91 Kupon Infaq sepanjang Ramadan tahun lalu, meningkat berbanding 2020.

Kupon infaq bernilai RM2 sekeping itu dikutip dari orang ramai di empat daerah meliputi Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling, menurut pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah menjelaskan kupon tersebut diedar kepada ketua penolong amil fitrah dan penolongnya sebagai alternatif orang ramai menyalurkan infaq sepanjang bulan berkenaan.

“Kupon Infaq Yide diserahkan kepada orang ramai jika hendak menginfaq selepas menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) semasa Ramadan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan sejumlah RM279,800 daripada kutipan berkenaan disumbangkan kepada anak yatim dan penjaga sebagai bantuan Covid-19.

Nur Mohd Razali berkata sumbangan tersebut meliputi bantuan kewangan tunai sebanyak RM500 yang memanfaatkan seramai 296 keluarga anak yatim, manakala sebanyak RM200 setahun diberi kepada 659 pelajar anak yatim.

“Selain itu, Yide menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir melalui Pek kasih, Bakul Kasih dan pembelian peralatan persekolahan kepada anak yatim yang terkesan dengan peruntukan RM200,000,” katanya.


Pengarang :