Antara graduan yang menghadiri majlis konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-23 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor buka permohonan bantuan untuk pelajar IPT hingga 20 Februari

SHAH ALAM, 24 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka permohonan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mulai hari ini.

Agensi itu memaklumkan permohonan sumbangan pendidikan itu dibuka selama sebulan sehingga 20 Februari depan.

“Alhamdulillah, berita baik ini buat semua pelajar IPT dalam dan luar negara untuk memohon dana ini. Dana ini adalah secara one-off bagi setiap peringkat pelajaran,” katanya menerusi Facebook hari ini.

LZS turut mengingatkan pemohon membaca syarat-syarat terlebih dahulu sebelum mengisi butiran kerana hanya sekali sahaja permohonan dibenarkan.

Agensi itu memaklumkan permohonan boleh dibuat menerusi dalam talian di www.zakatselangor.com.my/spzas

Menerusi perkongsian infografik, LZS menjelaskan sumbangan dibawah peruntukan asnaf fisabilillah itu adalah RM700 bagi pelajar dalam negara dan RM2,500 untuk pelajar luar negara.

Antara syarat permohonan individu itu perlu beragama Islam, warganegara Malaysia, ketua keluarga/penjaga lahir di Selangor atau bermastautin dan menetap di negeri ini tidak kurang tiga tahun.

Permohonan dibuka kepada pelajar semester dua dan keatas bagi IPT dalam negara dan bidang pengajian Islam serta perubatan peringkat Sarjana Muda bagi mereka yang belajar di Mesir, Jordan dan Maghribi.

Selain itu, pendapatan seisi rumah hendaklah melebihi garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi RM5,000 bagi dalam negara dan RM7,000 luar negara.


Pengarang :