Azmani Anwar, 39 menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking ketika tinjauan Selangorkini di Seksyen 9, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

100 kedai serbaneka dilantik ejen e-kupon Smart Selangor Parking

KLANG, 22 FEB: Sebanyak 100 kedai serbaneka dilantik sebagai ejen bagi menjamin kelancaran pelaksanaan e-kupon melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ejen tersebut bertanggungjawab membantu pengguna terutama warga emas dan pelancong mendaftar dan membayar kupon parkir.

“Pengguna juga terdiri daripada warga emas dan pelancong. Ejen ini akan membantu proses pembayaran kupon dan pengguna tidak perlu berpatah balik ke kereta untuk membuat pembayaran.

“Setakat ini, hampir dua juta pengguna sudah memuat naik aplikasi SSP sejak dilancarkan pada 2019 dan menjadi aplikasi parkir nombor satu di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga akhir Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir bergores yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612 atau e-mel [email protected].


Pengarang :