Kerja pembersihan pascabanjir dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

100 staf KDEBWM bersih besar-besaran Sri Muda Ahad ini

SHAH ALAM, 4 FEB: Seramai 100 kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) terlibat dalam kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda Ahad ini.

Operasi besar-besaran itu menumpukan kerja mengorek dan membersihkan longkang serta parit tersumbat termasuk mengutip sampah pukal, kata Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir.

“Di Taman Sri Muda kawasannya besar dan mengambil masa agak lama berbanding tempat lain yang kebanyakan sudah bersih dan hanya fokus pembersihan biasa serta kutipan sampah pukal.

“Kita harap penduduk bersabar dan mohon juga beri kerjasama dengan menjaga kebersihan kawasan persekitaran bagi memudahkan pihak KDEBWM,” katanya kepada SelangorKini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Ramli, penduduk di kawasan terbabit yang masih mempunyai sampah pukal diminta segera mengumpul dan KDEBWM akan mengutipnya.

“Kita minta penduduk di Taman Sri Muda beri kerjasama. Walaupun kutipan tersebut sebenarnya sudah berakhir tetapi kita akan bantu bagi memastikan kawasan ini bersih,” katanya.

KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.


Pengarang :