Mangsa banjir (dari kanan), Koh kok sian, 54, Sahrulnizam mayasin, 49, dan Alagendran Rengasamy, 55, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diterima di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10,000 lagi mangsa bah Klang terima bantuan hari ini

SHAH ALAM, 24 FEB: Agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diteruskan hari ini membabitkan seramai 10,000 keluarga terjejas banjir sekitar Klang.

Pegawai daerahnya berkata sesi penyerahan bantuan RM1,000 dijalankan di Dewan MBSA Kemuning Utama, Dewan Seri Kerayong, Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan TNB Kapar mulai jam 3 petang hingga 8.30 malam.

Mohd Faizal Abdul Raji memaklumkan perkembangan itu menjadikan keseluruhan penerima 55,654 dengan perbelanjaan sebanyak RM55.654 juta.

Sementara itu, pemohon yang mahu mendapatkan bantuan melalui pemindahan ke akaun (EFT) bank boleh kemas kini maklumat di pautan https://www.selangor.gov.my/klang.php/database_stores/form/28 .

Mereka perlu mengemukakan nombor kad pengenalan, nama, nombor akaun bank, nama bank, gambar tangkap layar muka depan penyata bank, gambar swafoto memegang kad pengenalan dan nombor telefon.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata mangsa banjir di daerah terbabit boleh menerima BSB sebanyak RM1,000 setiap keluarga melalui EFT bank masing-masing.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari jika mereka memerlukan sumbangan wang tunai, penerima digesa menepati waktu dan tarikh ditetapkan bagi mengelak beratur panjang.

Susulan banjir besar Disember lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.


Pengarang :