Sukarelawan menyemak butiran mangsa banjir sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

10,000 mangsa bah Klang, Shah Alam terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 23 FEB: Seramai 10,000 mangsa bah di Klang dan Shah Alam menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah semalam.

Daripada jumlah itu 4,000 membabitkan penerima di Dewan MBSA Kemuning Utama dan masing-masing 2,000 di Dewan Kilat TNB Jalan Kapar, Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Sri Kerayong.

Sheda Roseli

Berdasarkan tinjauan SelangorKini di Dewan MBSA Kemuning, rata-rata penerima mulai beratur seawal jam 2 petang untuk menerima bantuan berkenaan.

Salah seorang penerima Sheda Roseli, 44 meluahkan kesyukuran akhirnya permohonan berjaya meskipun bantuan diterima sedikit lewat berbanding mangsa bah yang lain.

“Lambat pun tidak apa sekurang-kurangnya dapat, syukur sangat. Walaupun nilai bantuan tidak sama dengan kerugian dialami tetapi saya tetap bersyukur.

“Setidak-tidaknya boleh menampung baiki kereta rosak dan beli kelengkapan sekolah anak,” katanya yang mempunyai enam anak yang masih kecil.

Manakala, S Marathamuthu, 69, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pusat kerana menunaikan janji dan tetap mengagihkan sumbangan kepada individu yang tercicir.

S Marathamuthu

Berkongsi pengalaman banjir Disember lalu, ia umpama sejarah hitam dan sehingga kini setiap kali hujan beliau dan isteri sangat trauma meskipun sudah lebih 30 tahun menetap di Kemuning Utama.

“Pertama kali banjir teruk sehingga musnah hampir semua perabot, harap tiada lagi kejadian seperti tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi penerima BSB yang hanya mahu digelar sebagai Tan, 61 turut mengucapkan terima kasih dan menyifatkan proses agihan hari ini cepat dan mudah.

“Mungkin kerana saya warga emas jadi saya tidak perlu beratur panjang… wang ini boleh belanja untuk menambah serba sedikit membaiki kerosakan rumah akibat banjir,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan inisiatif BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Tan

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :